Followers

Thursday, August 4, 2011

Apabila Allah S.W.T Menghendaki Sesuatu Perkara Itu Terjadi

"Ya Allah tabahkanlah diri ku ini sepertimana tabahnya kisah tauladan Maryam bersama Nabi Isa ini. Sesungguhnya ada hikmah di sebalik ujian yang telah Engkau berikan kepadaku ini".AMIN

Kisah tauladan Maryam bersama Nabi Isa.



Maryam merupakan ibu kepada Nabi Isa. Semasa kecil, Maryam dihantar ke sebuah tempat ibadah oleh bapa saudaranya, Nabi Zakaria. Pada suatu hari, ketika Maryam sedang beribadat kepada Allah, datanglah Malaikat Jibril dalam bentuk pemuda yang tampan agar Maryam tidak ketakutan.

“Aku datang sebagai utusan Allah. Dia akan memberimu seorang anak lelaki yang suci dan kudus,” kata Malaikat Jibril. Maryam terkejut mendengar kata-kata itu. “Bagaimana aku boleh memperoleh anak lelaki sedangkan aku masih belum berkahwin? Aku masih belum pernah disentuh oleh mana-mana lelaki,” balas Maryam.

Apabila Allah S.W.T menghendaki sesuatu perkara itu terjadi, maka akan jadilah ia. Dia Maha Berkuasa di atas segala-galanya,” jawab Malaikat Jibril. Malaikat Jibril pun terus berlalu meninggalkan Maryam kebingungan. Masyarakat pasti akan menghina dan mencercanya. Beliau masih belum berkahwin. Sekiranya mengandung, pasti orang akan menuduhnya melakukan zina. Oleh sebab itu, Maryam terpaksa melarikan diri dari Baitulmaqdis.Beliau pulang ke kampung halamannya di Annashirah. Di kampung, Maryam memencilkan diri daripada orang kampung. Beliau enggan menemui sesiapa pun termasuklah keluarganya sendiri. Beliau berpura-pura tidak sihat. Sepanjang masa Maryam mengabdikan dirinya dan beribadat kepada Allah. Beliau bermohon agar dikuatkan semangatnya untuk menghadapi cemuhan daripada masyarakat kelak. Maryam memperoleh ketenangan yang didambakan dengan keizinan Allah.

Allah memperkenankan doa hamba-Nya yang soleh.Maryam melalui hari-harinya dengan ketabahan sehinggalah beliau selamat melahirkan bayi yang dikandungkannya itu. Beliau memberi nama anaknya Isa yang bakal menjadi nabi bagi kaum Bani Israel serta membawa kitab Injil.

DAN (ingatlah wahai Maryam) yang telah menjaga kehormatannya lalu Kami tiupkan ke dalam (tubuhnya) roh dari Kami dan Kami jadikan dia dan anaknya tanda (kekuasaan) yang besar bagi alam semesta.(Al-Anbiyaa’: 91)

Maryam seorang perempuan yang suci. Beliau menghabiskan masanya dengan beribadat kepada Allah. Pada suatu hari, beliau didatangi malaikat Jibrail. Malaikat tersebut memberitahu Maryam bahawa beliau bakal mengandungkan seorang anak yang kemudiannya akan menjadi rasul.
 
Apabila tiba masa untuk melahirkan anak, Maryam pun keluar dari rumahnya dengan senyap-senyap. Beliau telah pergi ke tempat yang terpencil dan tiada orang. Akhirnya, Maryam terpaksa berhenti di bawah sebatang pokok kurma. Beliau sudah tidak dapat menahan kesakitan lagi. Tidak lama kemudian, Maryam pun melahirkan bayinya dan bayi itu diberi nama Isa.

Maryam menatap wajah anaknya dengan linangan air mata. Beliau berkata: “Alangkah baiknya kalau aku ditakdirkan mati sebelum melahirkan anak tanpa sebarang suami.”

Maryam berasa amat lapar dan dahaga.Beliau tidak menemui apa-apa yang boleh dimakan atau diminum.Keadaan padang pasir itu kontang dan tandus.Tiba-tiba Maryam terdengar satu suara.

“Wahai Maryam, janganlah engkau bersedih. Minumlah air yang mengalir dari bawah tapak kakimu. Goyangkan pokok kurma di belakangmu dan makanlah buahnya.

“Kemudian pulanglah engkau ke kampung.Jika engkau menemui sesiapa, katakan kepada mereka engkau bernazar puasa dan tidak akan bercakap dengan sesiapapun.”

Maryam pun makan dan minum sehingga beliau benar-benar sihat. Tibalah masa untuk beliau pulang ke kampung halamannya. Maryam mundar-mandir di tempatnya berdiri. Beliau risaukan keselamatannya. Beliau tahu kaumnya nanti akan menghinanya kerana melahirkan anak tanpa suami. Maryam kemudiannya berdoa kepada Allah agar ditabahkan hatinya apabila menghadapi hinaan daripada kaumnya. Beliau juga meminta agar dirinya dan anaknya dipelihara. Setelah itu, Maryam mengendong bayinya pulang. Seperti yang diduga, ramai yang terkejut apabila melihat perempuan yang belum berkahwin itu mempunyai anak. Kaum keluarga Maryam bergegas datang. Semua yang ada mengerumuni Maryam dan anaknya, Isa.

“Wahai Maryam! Engkau telah mencemarkan nama baik keluargamu. Keluargamu adalah daripada golongan orang yang beriman. Kamu telah membuatkan kami malu dan terhina,” kata keluarga Maryam.

Maryam memberitahu dengan isyarat bahawa beliau sedang bernazar puasa dan tidak akan bercakap dengan sesiapa pun. Beliau menuding ke arah Isa yang sedang berada di dalam buaian.

Tiba-tiba Isa berkata: “Aku adalah hamba Allah. Dia memberiku kitab Injil dan menjadikan aku seorang nabi. Aku sentiasa diberkati. Aku diperintahkan mendirikan solat dan menunaikan zakat selagi aku masih hidup. Aku akan berbakti kepada ibuku dan tidaklah aku dijadikan sebagai orang yang sombong. Moga aku sejahtera pada hari aku dilahirkan, ketika meninggal dunia dan ketika dibangkitkan semula.”

Maka tersebarlah cerita mengenai Isa yang masih bayi tetapi sudah boleh bercakap. Isa telah membersihkan fitnah yang dilontarkan kepada ibunya. Maryam adalah perempuan yang suci. Beliau telah melahirkan seorang anak yang akan menjadi nabi dan rasul.

Kaum keluarga Maryam tidak lagi menuduh yang bukan-bukan terhadap Maryam. Mereka kembali menghormati Maryam dan anaknya yang bernama Isa.

PENGAJARAN


1) Menabur fitnah adalah perkara yang dibenci oleh Allah. Fitnah mampu memecah-belahkan umat. Oleh itu, janganlah kita sesekali membuat fitnah.

2) Apabila kita menghadapi kesusahan, ingatlah ia sekadar ujian daripada Allah. Jika kita sabar menghadapinya, maka kita akan beroleh pahala.

3) Tidak ada perkara yang mustahil untuk berlaku. Jika Allah berkehendakkan perkara itu terjadi, maka dengan sekelip mata ia akan terjadi, kerana Allah itu Maha Berkuasa di atas segala-galanya.

Sumber daripada: Kisah Maryam Dan Kelahiran Nabi Isa dan di edit oleh Vind Aldama.

2 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...